Karnival Seni Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) Peringkat Kebangsaan 2008 telah diadakan di Kota Baru, Kelantan. Kontjien Kuala Lumpur telah mengambil bahagian di dalam semua acara yang telah dipertandingkan. Ia merupakan platform bagi pelajar-pelajar menyampaikan rasa benci terhadap najis dadah melalui seni iaitu melalui deklamasi sajak, nasyid, dikir barat, melukis poster, boria serta e-PPDa (persembahan pendidikan pencegahan dadah menggunakan kemahiran ict-power point). Selaras dengan tema pada karnival kali ini iaitu 'Masyarakat Madani Tanpa Dadah', persembahan-persembahan yang telah dipersembahkan menjurus kepada tema tersebut.
Bagi Kontjien Kuala Lumpur yang telah diketuai oleh En. Mohamad Faizal Saad (Penolong Pengarah) dibantu oleh En. Burhanuddin Disa (Pegawai Khas), persediaan ke Karnival ini telah bermula pada 15 Ogos 2008 di Pusat Kecemerlangan Sukan Kuala Lumpur dengan mengadakan kem sentral bagi memberi taklimat Karnival. Tepat pada 0600 16 Ogos 2008, bas-bas yang membawa kontijen Kuala Lumpur telah memulakan perjalanan menuju ke Kota Baru, Kelantan. Perjalanan yang jauh dan memenatkan tidak mematahkan semangat kontijen Kuala Lumpur. Walaupun perjalanan telah mengambil masa yang agak lama disebabkan faktor trafik dan teknikal tetapi akhirnya kontijen Kuala Lumpur telah sampai ke destinasi pada sebelah petang.
Kontijen Kuala Lumpur telah memulakan persembahan mereka pada 17 Ogos 2008, dengan berkat dan kesungguhan ahli-ahli pasukan mereka telah dapat menghasilkan persembahan yang amat memberangsangkan. Ia merupakan pertandingan yang amat sengit kerana setiap pasukan adalah yang terbaik dari setiap negeri dan pihak hakim mempunyai kesukaran memberikan markah kerana jurangnya amat kecil.
Pasukan Nasyid telah memulakan persembahan mereka diikuti Boria, Deklamasi Sajak (Rendah), Deklamasi Sajak (Menengah) dan pada sebelah petangnya e-PPDa. Terdapat 3 tempat pertandingan, oleh yang demikian, En. Mohamad Faizal serta En. Burhanuddin mempunyai tugas yang amat mencabar untuk menghadirkan diri di setiap tempat pertandingann bagi memastikan kelancaran persembahan kontijen Kuala Lumpur dan memberi sokongan moral.
Ketibaan Ketua Unit PPDa Kuala Lumpur En. Ismail Ibrahim telah memberikan suntikan moral kepada kontijen Kuala Lumpur khasnya dan Karnival itu sendiri amnya. Beliau yang sememangnya dikenali oleh ahli-ahli kontijen Kuala Lumpur dan seluruh pegawai PPDa mahupun diperingkat Kementerian dan Negeri amat perihatin terhadap kebajikan dan keperluan kontijen Kuala Lumpur.
Pelajar-pelajar telah dibawa melihat bandaraya Kota Baru pada sebelah malam bagi menghilangkan tekanan dan stress. Ia juga dapat memberi pengalaman baru kepada pelajar-pelajar mengenali banda Kota Baru dengan lebih dekat, seperti pepatah melayu 'Tak kenal maka tak cinta'.
Pada 18 Ogos 2008 pada pukul 9.00 pagi kontijen Kuala Lumpur telah bertolak ke KB Mall (tempat acara dikir barat dipertandingkan). Agak malang sekali kerana pusat membeli belah hanya dibuka pada pukul 10.00 pagi. Oleh yang demikian, kontijen Kuala Lumpur terpaksa menunggu diluar dan diawasi oleh guru-guru pengiring serta pegawai-pegawai. Pasukan dikir barat telah mempamerkan persembahan yang amat memberangsangkan. Tempat pertandingan disini dipenuhi dengan penonton, pasukan negeri serta penyokong ia merupakan tempat yang amat unik kerana mesej 'Masyarakat Madani Tanpa Dadah' dapat diperluaskan kepada orang awam.
Setinggi-tinggi penghargaan ingin diberikan kepada semua yang telah menjayakan dan melicinkan persembahan oleh Kontijen Kuala Lumpur. Tahniah kepada semua pemenang dari Kuala Lumpur mahupun dari negeri lain.